DUA finalis – Kuala Lumpur dan Melaka digamit detik kemasyhuran, malam ini (Sabtu). Apa yang jelas, kedua-dua barisan ini pasti mahu menjelmakan satu aksi ‘amat berbeza’ untuk menang dan membawa pulang trofi Piala Tun Razak.

Tidak dinafikan perlawanan akhir di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil membawa pengertian besar kepada kedua-dua skuad yang enggan melepaskan peluang merampas status untuk digelar pasukan elit hoki negara, musim ini.

Kali terakhir Kuala Lumpur menjuarai kejohanan adalah pada 2011 manakala Melaka pada 2019. Rasa kempunan mahu mendakap semula piala berprestij itu kini menerbitkan rasa ghairah kepada setiap pemain.

Vicky memberi taklimat kepada pemain pada sesi latihan terakhir, Jumaat menjelang final menentang Melaka. – Gambar ihsan Persatuan Hoki Kuala Lumpur.

Kita mengucapkan selamat berjuang kepada dua pasukan terbaik kali ini. Sesungguhnya pemain kedua-dua pihak berjaya sampai ke tahap ini bukan hanya atas faktor nasib tetapi berbekal sifat yakin pada diri serta kekuatan mental diterap baik pegawai pasukan.

Ranjau mereka dalam edisi kali ini juga penuh berliku selepas memerah keringat melepasi halangan peringkat kumpulan dan separuh akhir.

Berita paling mengejutkan adalah Melaka yang gah menyingkirkan juara bertahan, Perak dengan kemenangan menerusi penentuan penalti 3-2 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada Khamis (19 Oktober).

Saat gembira juga dapat dirasai Kuala Lumpur dengan bekalan tenaga muda menewaskan barisan pilihan, Pahang 3-1 dalam satu lagi saingan separuh akhir pada hari sama.

Dalam saingan wanita, aksi final akan menyaksikan juara bertahan, Selangor menentang Sabah yang mencipta sejarah layak buat julung kali daripada lapan edisi penganjuran.

Pemain dan pegawai skuad Melaka bertekad untuk mengejar kejuaraan apabila menentang Kuala Lumpur, Sabtu. – Gambar ihsan Eugene Lee.

Final kali ini juga tidak lengkap tanpa menyebut ‘dua supremo’ atau otai hoki yang memainkan peranan besar dalam menjana kemenangan pasukan masing-masing layak ke final, musim ini.

Ketua jurulatih, Kuala Lumpur, I Vikneswaran dan penasihat skuad Melaka, Eugene Lee amat menjiwai hoki lebih 30 tahun lalu.

Kedua-dua pemain ini adalah rakan baik dan lahir pada satu generasi di mana hoki dilatih dengan sistem padu tanpa jalan mudah mengejar nama.

Mereka juga rakan sepasukan dalam skuad remaja kebangsaan. Sifat mereka ketika itu adalah utamakan disiplin dan komitmen tinggi serta bermain mati-matian untuk diri dan pasukan negara.

Elemen sama jelas diterapkan dengan baik kepada anak didik mereka pula selaku pengendali pasukan ketika ini. Ini atas pengalaman masing-masing dan lebih penting minat mendalam mempelajari ranjau permainan hoki.

Tidak menghairankan pemain muda Kuala Lumpur dan Melaka digilap dengan kaedah sama berpandu kepada kekuatan mental dan semangat sepasukan tinggi ditonjolkan setakat ini.

Vikneswaran atau lebih mesra dengan panggilan Vicky mungkin tidak lokek menguntum senyum kepada anak buahnya tetapi apabila tiba masanya untuk memberikan hasil kepada pasukan, dia lazimnya bertukar watak.

Eugene bersama jurulatih Melaka, Nor Ikram (kiri) dan pengurus pasukan, Mirandy.

“Saya tidak menekan pemain secara berlebihan tapi akan menegur keras jika mereka gagal mendukung peranan diberikan.

“Untuk final ini saya mahu mereka kekalkan rentak konsisten permainan berterusan dan memberi fokus pada setiap minit permainan.

“Saya tidak mahu pemain terlalu ghairah kerana ia boleh membawa masalah. Mereka harus lebih berdisiplin menggalas tugasan dan cuba melangkah ke satu lagi tahap tinggi.

“Ini adalah kali pertama pemain saya akan merasai bahang final Piala Tun Razak tapi yakin mereka sudah bersedia. Pemain dilatih tidak mudah gementar hadapi lawan pada saat penting seperti ini,” kata Vicky yang pernah bersama skuad negara yang bertanding dalam kejohanan kelayakan ke Sukan Olimpik 1996 di Atlanta.

Eugene yang banyak menghabiskan masa bersama pasukan, termasuk barisan remaja negeri akur Kuala Lumpur adalah pilihan tetapi enggan menyerah mudah.

“Dalam final apa saja boleh berlaku. Selepas berjaya ke final tiada pasukan mana pun mahu mengalah.

“Kuala Lumpur memang satu barisan yang bagus dan kami perlu menggandakan usaha. Mereka juga ada dua pemain kebangsaan dan beberapa bekas pemain negara.

“Tapi, saya sentiasa bertegas dengan pemain untuk elak rasa takut dan bermain dengan sifat percaya kepada kemampuan diri untuk mencipta nama.

“Harap segalanya akan berjalan baik memihak kami,” katanya yang pernah menjadi anggota skuad negara yang memenangi pingat perak Piala Remaja Asia pada 1991.

Dia juga menaruh kepercayaan tinggi ke atas jurulatih pasukan, Nor Ikram Sulaiman yang juga bekas anak didiknya serta pengurus pasukan, Minardy Nawawi yang juga adik kepada legenda hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi.

Antara tonggak utama pasukan adalah Amerullah Zainol, Adam Aiman, Faid Farisha dan Muhd Nur Israq dan dibantu lapan pemain skuad Sukma.

“Melaka juga memiliki satu barisan muda termasuk lima pemain senior yang memenangi trofi Piala Razak pada 2019,” tambahnya.

Vicky dan Eugene yang bakal bertembung nanti akan mengetepikan sementara pertalian persahabatan masing-masing pada aksi final nanti. Namun, mereka tetap menghambur kata-kata pujian antara satu sama lain.

Ada juga sesuatu yang membuat mereka lebih bersemangat apabila menerima ucapan tahniah daripada bekas pemain tonggak negara, Maninderjit Singh.

Bekas bek tengah skuad kebangsaan itu menyuarakan rasa bangga di atas kejayaan kedua-dua rakannya itu yang membimbing anak didik mereka berjaya ke final edisi kali ini.

Dalam mesej menerusi Whatsapp, Manindejit atau Mike dipetik berkata dua pengendali pasukan ini berjaya menyingkirkan dua barisan pilihan – Perak dan Pahang.

“Ini satu pencapaian baik daripada anda menumbangkan lawan gergasi. Tapi dalam final hanya akan ada satu pemenang saja dan saya ucapkan selamat berjaya.

“Saya kagum dengan tugasan kejurulatihan anda berdua dan ini satu usaha membanggakan,” katanya.

Bagi pemain hoki, Piala Tun Razak dinilai sama seperti kemeriahan kejohanan bola sepak Piala Malaysia.

Inilah magis kejohanan yang dilabel antara tertua di negara ini. Ia menjadi idaman setiap pasukan sejak berdekad-dekad lamanya. Pentas ini juga menjadi lubuk mencari bakat yang pernah melahirkan ramai bintang tersohor hadir menjulang martabat skuad negara.

Namun, sejak sedekad lalu glamor kejohanan ini makin pudar dan kurang mendapat tarikan. Ada juga yang menyebut ia diadakan sekadar pelengkap jadual kalendar Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Harap final malam ini akan menyajikan satu aksi bermutu bagi nilai tontonan dan ketika sama MHC dapat mencari ilham baru menghidupkan semula bahang saingan Piala Tun Razak seperti mana pernah disaksikan pada era lalu.

Majulah sukan untuk negara!

Trofi kebanggaan yang menjadi pertaruhan untuk finalis Piala Tun Razak, musim ini.

JADUAL

Hari Ini
(21 Oktober)

Tempat ke-3/4
Perak mln Pahang
(4 ptg)

Final
K Lumpur mln Melaka
(8 mlm)

(Nota: Semua perlawanan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil)

INFO JUARA LALU

2022 – Perak 5 Pahang 1

2021 – Perak 2 Pahang 1

2020 – Perak 4 Terengganu 2

2019 – Melaka 3 Johor 1

2018 – Perak 2 Terengganu 2
(Perak menang penentuan penalti 3-1)

2017 – Perak 3 Terengganu 2

2016 – Terengganu 3 PDRM 0

2015 – Melaka 1 Perak 0

2014 – Perak 4 Pahang 3

2013 – Perak 3 K Lumpur 0

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading