Oleh Muhammad Nur Aiman Roslan

SUDAH lebih satu bulan perang antara Palestin dan Israel tercetus, namun konflik itu masih belum menemui kesudahannya.

Hari demi hari, detik demi detik, puluhan ribu nyawa telah menjadi taruhan sehingga ramai yang terkorban, termasuk mereka yang kehilangan ahli keluarga, tempat tinggal dan kerosakan harta benda.

Pada saat rakyat Palestin sedang berjuang habis-habisan mempertaruhkan nyawa demi mempertahankan tanah air mereka, kita sebagai rakyat Malaysia yang hidup aman dan damai dan masih boleh menikmati setiap momen-momen bersama keluarga, masih tidak mampu melakukan sebarang tindakan, terutama dari segi bantuan ketenteraan.

Hal yang demikian adalah kerana Malaysia berada di bawah Pergerakan Negara-Negara Berkecuali atau disebut sebagai Non-Aligned Movement (NAM).

Perkara ini telah membataskan semua negara yang berada di bawah naungan pergerakan NAM ini akan dilindungi daripada dijajah oleh negara lain. Sekiranya Kerajaan Malaysia memberi bantuan ketenteraan bagi membantu Palestin, hal ini sudah dianggap sebagai satu pelanggaran perjanjian yang telah dimeterai.

Dalam erti kata lain, pelanggaran perjanjian tersebut akan menyebabkan negara yang aman ini terdedah kepada penjajahan oleh mana-mana negara tanpa sebarang sekatan dan perlindungan.

Walaupun bantuan ketenteraan tidak dapat dihantar, hal ini tidak membawa maksud bahawa rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini hanya mampu melihat serta merintih atas kesedihan yang ditanggung oleh penduduk di bumi Gaza.

Kita masih boleh menghulurkan bantuan dengan cara melemahkan ekonomi musuh utama Islam iaitu Zionis Israel.

Wahana ini boleh dilaksanakan dengan cara memboikot barangan yang bersangkut paut dengan Israel. Bukan sahaja dengan memboikot barangan keluaran Israel. Malah kita juga perlu memboikot sebarang institusi mahupun syarikat yang menyokong serta pro-Israel.

Dalam kemelut ini, kebanyakan barangan yang dikeluarkan oleh syarikat pro-Israel telah terbukti memberi sumbangan secara tidak langsung melalui bantuan kewangan untuk melakukan persediaan serta pembelian bahan api untuk tujuan memusnahkan kehidupan penduduk di Gaza.

Melalui kaedah ini mungkin dapat mengurangkan peratusan penghasilan senjata api dan bahan ketenteraan mereka.

Baru baru ini, acap kali kita dengar berkenaan kebangkitan kembali isu boikot restoran francais seperti Mcd, Starbucks dan beberapa restoran serta beberapa jenama lain yang berkait dengan institusi kewangan yang menyebelahi negara haram Israel.

Dengan kerjasama serta solidariti yang dilakukan oleh rakyat Malaysia dapat dilihat bahawa pemboikotan ini telah berjaya dilakukan melalui rakaman video yang dimuatnaik oleh netizen di media sosial tentang keadaan di beberapa premis francais yang sunyi dan tidak dikunjungi pelanggan.

Apakah bukti yang menunjukkan bahawa kegiatan memboikot ini dapat melemahkan ekonomi mereka? Buktinya pada 1981, negara kita pernah melakukan kempen Buy British Last (BBL). Malaysia telah memboikot barangan Britain dan mengutamakan barangan buatan Malaysia.

Kesannya telah menyebabkan Britain telah mengalami kerugian sebanyak 170 juta di samping ramai pekerja yang hilang pekerjaan. Hal ini telah menjadi asbab Britain tunduk dan ingin berbaik semula dengan Malaysia.

Walaupun taburan penduduk Palestin kebanyakannya didiami oleh orang yang beragama Islam, tidaklah menjadi penghalang kepada rakyat Malaysia yang berlainan agama tidak boleh memberikan sokongan yang jitu kepada rakyat Palestin.

Cara ini bukan sahaja menunjukkan betapa pentingnya nilai simpati dan empati namun sejauh manakah nilai kemanusiaan yang perlu diutamakan apabila melihat bom-bom dijatuhkan secara rawak, kanak-kanak yang tidak bersalah dibunuh, hospital dimusnahkan dan keluarga hilang tempat pergantungan.

Perkara ini bertepatan dengan slogan “You do not have to be Muslim to stand with Palestine, you need to be human”.

Justeru, sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, bertegas dan bersatulah dalam memboikot produk-produk Israel sehingga golongan yang menyokong gerakan pengganas Zionis ini mengalami kerugian yang besar agar tidak dapat menyumbangkan lagi bantuan kewangan kepada rejim ganas itu.

Jadi perlu diingatkan kepada para pembaca bahawa tindakan memboikot ini perlu diteliti dengan lebih mendalam hingga ke akar umbi agar tidak mendatangkan kemudharatan kepada pihak yang tidak bersalah.

Setiap perkara yang dilakukan perlulah berlandaskan ilmu dan kajian agar tidak mendatangkan kerugian yang besar di samping dapat mengekalkan kestabilan ekonomi umat Islam.

Melalui konteks ini, amalan memboikot syarikat yang berunsurkan pro-Israel ini tidak seharusnya dilakukan pada musim-musim tertentu, malahan amalan ini perlu dilakukan secara berterusan agar dapat menjaga kemaslahatan umat sejagat, terutama saudara kita yang berada di Palestin.

Oleh itu, teruskanlah berdoa dan memboikot barangan yang menyumbang kepada kegiatan Israel. Semoga negara Palestin beroleh kemenangan. “From river to the sea, Palestine will be free.”

Penulis adalah mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Usuluddin dari Akademi Pengajian Islam,
Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam Universiti Malaya.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading